Arwah mummy pernah menceritakan yang aku di lahir pada 29 April 1982....tatkala kedengaran azan pada jam 5.40 pagi. Waktu itu arwah baru berusia 34 tahun. Berat aku semasa dilahirkan ialah 2.95kg. Panjang aku waktu itu ialah 53cm berukuran dada dan kepala 33cm. Tiada kecacatan. Lebih kurang sepuluh minit arwah bertarung nyawa untuk melahirkan aku. Mengikut rekod kelahiran aku, yang masih aku simpan hingga sekarang....arwah mula sakit hendak bersalin pada jam 5.00 pagi...dan terasa sakit kuat pada jam 5.30 pagi. Itulah aku. Setibanya aku di dunia ini...ayah menamakan aku dengan nama KARTINI.
KARTINI. Ya...itulah nama aku. Mengikut cerita ayah, nama tersebut di ambil sempena nama wanita pertama di tanah Jawa, Indonesia yang menerima pelajaran tinggi dan membela nasib kaum wanita terutama yang di tindas. Ayah memetik nama tersebut dengan menaruh harapan yang suatu hari nanti aku juga akan menjadi seperti Raden Ajeng Ibu Kartini. Beliau juga di lahirkan pada bulan April iaitu 21 April 1879. Sama bintang dengan aku. Beliau seorang yang sangat menghormati dan menyanyangi ayahnya iaitu Raden Mas Sosroningrat. Tetapi......pernah suatu ketika dahulu...ayah menyuarakan yang dia kesal menamakan aku dengan nama KARTINI. Katanya...aku selalu menjadi jaguh kampung wanita pertama yang membawa kereta laju...mengusung dan bermain gitar ke hulu-hilir...masalah disiplin di sekolah sehingga ruangan kesalahan tidak muat untuk di isikan...yang suka melepak di kaki lima...aduh...baru aku sedar terlalu banyak untuk aku senaraikan. Namun semua itu terpadam...kerana akhirnya aku sudah mempunyai kerjaya dan merupakan wanita pertama dan termuda bekerja di bahagian Production di syarikat NSTP. Aku mempunyai sub-ordinat untuk di pimpin. Hampir 6 tahun aku mencari rezeki di syarikat NSTP. Ayah cukup bangga dengan kerjaya aku. Dia selalu menasihatkan aku supaya bersyukur dengan apa yang aku ada. Katanya...anak orang lain masuk Universiti belum tentu dapat kerja. Tapi anak ayah....baru saja tamat terus dapat peluang kerja yang baik. Dia juga menasihati aku supaya banyak bersabar dalam menumpuh kerjaya ini.
Alhamdullillah. Aku bersyukur atas segala pemberian dari Illahi. Setelah bekerjaya...hidup aku berbeza. Kini aku menanggung kos hidup aku sendirian. Jika aku malas...jika aku putus asa...maka tiadalah sesuap nasi untuk aku. Aku tidak sangka bekerja di NSTP terlalu banyak cabaran. Aku tidak punya ramai kawan. Malah tiada kawan langsung di tempat kerja aku. Adalah beberapa orang yang menegur. Tapi setakat sapaan sahaja. Untuk aku berkongsi masalah jauhlah sekali. Semasa aku belum berumah tangga, aku tinggal dengan 3 orang kawan. Namanya, Suri, Noi dan Fatin. Tapi yang aku betul-betul akrab ialah Suri dan Noi. 2 orang inilah yang boleh dijadikan sahabat. Aku tinggal sebumbung bersama Suri dan Noi hampir 6 tahun. Aku sudah anggap mereka seperti keluarga sendiri. Banyak memahami tentang diri aku. Apa yang aku suka, apa yang boleh membuatkan aku naik angin, marah, ketawa dan tersenyum. Merekalah tempat aku berkongsi masalah susah dan senang. Mungkin sikap aku ada membuat mereka terluka. Tapi mereka tidak pernah ada perasaan membenci pada aku. Itulah, sahabat yang aku benar-benar aku percaya. Sahabat yang boleh aku dampingi. Aku bersyukur kerana punyai sahabat seperti Noi dan Suri.
Mengorak langkah di NSTP penuh dengan cubaan. Di sini aku di pulaukan. Aku di labelkan seorang yang sombong dan tidak suka bercampur. Sehinggakan ada staff lain di sini menyuruh jangan berkawan dengan aku. Astagfirullah...biarlah Allah mengampun dosanya. Inilah dikatakan. Tak kenal...maka tak cinta. Aku sikit pun tidak berkecil hati. Biarlah. Aku mencorak dunia aku sendiri di NSTP. Aku datang di NSTP untuk kerja. Aku fokus hanya pada kerja. Aku tutup telinga kiri dan kanan. Aku buka hanya sebelah mata. Bila tiba waktu makan, aku makan walaupun berseorangan. Kata mereka aku ini pelik. Apa yang pelik? Adakah pelik jika makan berseorangan? Bagi aku, buat apa makan ramai-ramai menjadi ahli mensyuarat tingkap? Biarlah mereka dengan cara mereka dan aku dengan cara aku. Bukannya mereka yang membayar gaji aku untuk hidup.
Terlalu banyak ancaman di NSTP. Sehinggakan rakan setugas aku sendiri merasa tergugat dengan adanya aku di kalangan Eksekutif. Sedikit pun aku tidak terlintas untuk berlumba-lumba akan pangkat. Aku adalah aku. Aku kerja dengan cara aku. Sumpah. Aku tidak pernah ada perasaan ingin berlumba-lumba. Segala tugas yang diberikan aku galas dengan sebaik mungkin. Aku atur dengan rasa penuh tanggungjawab. Tapi aku selalu di salah ertikan. Kata mereka, aku ini mahu tunjuk hebat. Subhanallah. Tidak ada langsung niat begitu. Kadang-kadang aku terfikir, apakah kesalahan aku sehingga ramai yang menghukum sedemikian.
Tahun 2010, cara aku kerja tidak seaktif dulu. Aku cuba ikut budaya kerja NSTP. Kadang-kadang aku menular. Masuk lambat balik cukup waktu. Aku sudah bosan dan meluat dengan tomahan yang sering dilemparkan pada aku. Dada aku merasa sempit dan jiwa aku tertekan. Aku manusia biasa ada tahap kesabaran. Dikala ini aku mungkin tidak dapat menahan sabar lagi. Banyak perkara yang bermain di fikiran aku. Aku penat. Penat manahan kepedihan. Lalu terlintas di fikiran. Siapakah yang boleh memahami keadaan aku ketika ini...
Sejak akhir-akhir ini, fikiran aku menjadi sempit seolah tiada corong-corong udara untuk aku bernafas. Kalau dahulu aku melihat sesuatu dari pelbagai sudut dan pihak. Tapi sekarang tidak lagi. Aku cuma nampak Laila anak aku. Setiap benda yang aku lakukan, aku hanya nampak Laila. Laila umpama nyawa untuk aku terus bernafas. Kalau dahulu, aku suka berenang atau sekurang-kurangnya menyelam. Bila berenang, aku suka dengar bunyi percikan air dan nafas aku sendiri. Terasa seperti suatu kewujudan. Ada nyawa yang berbisik di situ. Membangkitkan semangat aku untuk terus melangkah lagi dan lagi. Tapi itu dulu. Sekarang...Laila umpama nafas aku. Baik yang aku lakukan, maka baiklah untuk Laila. Buruk yang aku lakukan, maka buruklah untuk Laila. Laila harus membesar. Perlu di dedahkan dengan didikan. Itulah cermin buat aku apabila aku sudah tidak mampu melihat diri sendiri nanti. Aku mohon pada Illahi, jadikanlah ia anak yang baik. Anak penyejuk hati orang tuanya.
Semasa aku mengandung, aku sering bacakan surah Loqman untuknya dengan niat supaya dia menjadi anak yang baik. Ya, Allah...janganlah Engkau jadikan dia seperti mana aku dahulunya. Rugilah dia jika menjejak langkah hitam aku. Aku selalu memohon supaya Laila di lindungi dari godaan Syaitan dan Iblis yang boleh menyesatkannya. Aku manatang Laila umpama minyak yang penuh. Aku mohon...janganlah Engkau hilangkan ingatan aku pada anakku...
Hendak sahaja aku berceritakan pada Laila tentang rintihan hati aku. Sejak dari dulu...aku memang seorang yang suka memendam rasa. Bila terlalu banyak perasaan yang di pendam...aku mula melenting. Aku terfikir, masih adakah orang yang boleh memahami tentang diri aku. Apa yang aku suka makan, warna kegemaran aku,lagu kegemaran aku, apa yang aku suka lakukan, apa yang aku tidak suka lakukan, kuih apa yang aku suka, air apa yang aku minum, cerita apa yang aku suka, buku apa yang aku baca, baju apa yang aku pakai, seluar apa yang aku suka, buah apa yang aku suka, dan yang paling penting apa yang boleh membuatkan aku jadi tenang dan gembira?
Aku sering memikirkan perihal orang lain. Kadang-kadang aku membelakangkan diri aku sendiri. Aku lebih suka menyelsaikan masalah orang lain dari masalah aku sendiri. Apakah ada orang lain yang boleh memikirkan masalah aku? Jika ada...mengapa fikiran aku semakin sempit? Atau mungkin aku terlalu memikirkan benda yang tidak sepatutnya aku galas. Adakah aku sendiri yang memenatkan fikiran aku.
Kadang-kadang aku bimbang jika kehadiran aku dalam hidup suami aku banyak menyusahkan dirinya. Aku cuba bantu apa yang aku termampu. Tuntutan bulanan perlu di lunaskan ...rumah sewa RM750, pengasuh RM300, susu dan pampers RM300, utiliti RM200, motor RM163, insurans RM121. Semua sekali berjumlah RM1834. Belum lagi aku tolak hutang kredit kad. 80% dari perbelanjaan ini aku lunaskan dengan meninggalkan baki gaji aku tidak sampai pun RM200 untuk diri sendiri. Kadang-kadang langsung tidak berbaki. Sejujurnya aku redha dan aku harungi. Sejenak aku terfikir, pernahkah kita mengira dalam sebulan, berapa kalikah kita ketawa, berapa patah perkataankah kita bercakap, berapa lamakah kita tersenyum? Apakah perlu adanya carta untuk diri sendiri?
Dahulu semasa arwah hidup, aku sempat kirimkan wang bulanan untuknya jika ada lebihan. Tanda ingatan aku padanya. Sehingga suatu hari, arwah perasan yang aku seolah berkira-kira tentang kewangan. Subhanallah. Aku tidak langsung ada niat untuk berkira dengan arwah mummy. Mungkin kesempitan perbelanjaan menjadikan aku seorang yang berkira. Bagaimana untuk aku hulurkan wang bulanan untuknnya jika wang aku sendiri tidak berbaki? Arwah tidak pernah meminta wang dari aku. Cuma dia berkecil hati pada aku. Pernah dia meminta aku membelikan tiket kapal terbang untuknya. Waktu itu, aku benar-benar kesempitan. Kredit kad over limit. Aku tidak boleh belikan tiketnya. Aku menyuruh arwah minta abang aku belikan. Tapi arwah merajuk. Lalu aku sendiri yang menelefon abang aku supaya belikan tiket untuknya. Tidak aku sangka, perbuatan aku membuatkan arwah berkecil hati. Dia menyuarakan rasa terkilan apabila permintaan dia tidak dapat aku lunaskan. Arwah layak berkecil hati kerana dia tidak pernah meminta apa-apa. Tapi apabila dia meminta, aku pula tidak dapat menunaikannya. Aku kesal. Aku jelaskan tentang keadaan aku. Mungkin arwah merasa hairan tentang kedudukan kewangan aku yang sentiasa tidak mencukupi. Aku tidak salahkan arwah. Yang mengharungi adalah aku. Yang merasa adalah aku...dan yang berdosa juga adalah aku. Itulah aku. Apakah Allah bisa mengampunkan dosa aku? Apakah yang seharusnya aku lakukan untuk menyelamatkan keadaan diri aku sendiri? Suara siapakah yang seharusnya aku dengar?
Aku telan semuanya. Seperti menunggu hari mati. Aku menghitung dosa aku pada ibu aku, pada ayah aku, pada suami aku, pada sahabat-sahabatku dan pada yang ada disekeliling aku. Tidak terkata banyaknya. Nerakah tempat aku? Bolehkah aku mengharungi panas api neraka itu? Terlintas, apakah tujuan aku di muka bumi ini? Adakah aku wujud hanya untuk melakukan dosa?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment