Monday, August 16, 2010

Sepatu untuk ayah...







Ayah di lahirkan pada 7 Ogos 1943. Bagaimana arwah nenek aku menyambut kelahirannya....?itu aku tidak pasti kerana ayah tidak pernah bercerita. Tarikh itulah lahirnya seorang wira yang bernama ayah dan kelahirannya sangat, sangat, sangat dan sangat bermakna dalam diri aku. Tanpa ayah aku mungkin tidak ada untuk bernafas seperti sediakala.

Minggu lepas ayah datang ke KL. Niatnya untuk menghadiri Majlis Pernikahan cucu saudaranya. Sebenarnya...aku hampir2 terlupa akan tarikh yang begitu istimewa dalam hidup aku. Di saat aku, aku merancang untuk pulang ke kampung namun gagal kerana ayah memberitahu yang dia akan datang ke KL. Habis semua perancangan aku tergendala. Rancangan asal, aku hendak membawa ayah ke Pulau Perhentian. Aku fikir mungkin itu sesuatu hadiah yang istimewa untuknya kerana ayah tidak pernah pergi ke pulau. Kalau dahulu, bila aku menceritakan keindahan pulau...ayah seolah2 menggambarkannya sahaja. Pernah suatu hari dilihatnya dalam akhbar, gambar panorama dalam laut. Di ajukan soalan pada aku....ini gambar betul ke? Atau edit dalam komputer. Aku tersenyum bila ayah bertanya seolah tidak percaya. Aku menjawab, ini gambar betul ayah. Memang dalam laut macam inilah rupanya. Ada penyu melintas, ikan berduyun-duyun...air jernih memang berbeza dengan air pantai di PCB atau Bachok. Ayah mengalih pandangan seolah tidak percaya apa yang aku katakan.

Itulah sebab utama aku hendak bawa ayah pergi ke Pulau. Setelah pemergian arwah mummy...aku belajar untuk mengisi impian dan harapan orang tua terutama ayah....kerana sekarang aku cuma miliki ayah. Hendak aku kongsikan pengalaman yang indah bersama ayah supaya ayah merasa kami iaitu anak-anaknya ada disampingnya untuk menyanyanginya. Terkenang surat arwah...aku tidak mahu lagi ada perasaan seperti mana arwah pernah nyatakan pada aku. Aku sayangkan arwah mummy...aku juga sayangkan ayah. Sudah terlambat untuk aku mengisi impian arwah mummy. Walau aku menangis air mata darah sekalipun Tuhan telah mengambil nyawanya bersama janji-janjinya. Yang pergi akan tetap pergi. Dengan ayat itulah aku meniti hari-hari perjalanan hidup aku.
Dan setiap kali aku terkenang pada arwah mummy...cepat2 aku menempis dengan melafazkan fatihah supaya sebak ini tidak terperangkap di dalam dada.

Berbalik semula tentang ayah.....aku terfikir bagaimana aku hendak meluahkan rasa sayangnya aku pada ayah. Aku berangan yang suatu hari nanti jika Allah memurahkan rezeki dan memanjangkan umur aku dan dia...hendak saja aku menunaikan semua angan2 ayah. Dulu ayah pernah berangan hendak pergi ke China. Mungkin suatu hari nanti....insyaallah. Ayah pernah berceritakan yang arwah mummy teringin sangat hendak pergi ke Egypt. Tapi ayah tidak dapat memenuhi permintaannya lagi pada ketika itu kerana kekekangan kewangan. Ayah pernah bersuara pada aku, seolah dia berasa kesal tidak dapat memenuhi hajat isterinya itu.... Aku tidak salahkan pada ayah. Ayah punya banyak tanggunggan untuk di lunaskan setiap bulan. Sehingga menepikan impian dan hajatnya sendirinya...inikan pula hajat isterinya sendiri. Itulah pengorbanan ayah yang tulus. Arwah mummy pula tidak pernah merungut membanting tulangnya manjaga cucu-cucunya. Pernah aku bertikam lidah dengan arwah, tentang sifatnya yang terlalu lembut. Aku kasihan melihat usianya dimamah oleh bebenan yang tak putus-putus tiba. Sehingga pada suatu hari aku tidak sanggup lagi melihat dia dihujani beban dan aku tidak mahu menjadi penderhaka jika luahan aku itu membuat dia berkecil hati. Aku nekad untuk tinggal jauh dari keluarga.

Tahun 2000, adalah tahun di mana aku mula mengorak langkah sendiri. Memencilkan diri jauh dari keluarga. Langkah pertama aku ialah ke Pulau Langkawi....aku di sana hampir setahun. Aku seronok berada di sana. Aku menikmati hidup dengan cara aku sendiri. Kadana-kadang aku terima surat dari ayah. Aku bacakan surat itu didepan kawan2 aku. Gelak kami pada ketika itu kerna aku mengajuk cara-cara ayah. Aku bangga menerima surat dari ayah. Ingat juga dia pada anaknya ini. Pada waktu itu, mummy jarang-jarang hubungi aku tapi ayah selalu menelefon aku. Bila tiba cuti panjang, aku bersiap2 hendak pulang ke kampung dengan berbekalkan hadiah untuk ayah dan mummy. Tanda ingatan aku pada keduanya.

Tahun 2001, tawaran aku untuk meneruskan pengajian di UiTM diterima. Aku sangat gembira. Tidak dapat aku ucapkan dengan kata-kata. Walhal, aku tidak pernah impikan untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti. Tapi sekurang-kurangnya aku dapat membuktikan bahawa anak ayah ini hebat jugak orangnya. Sekurang-kurangnya dia tidak lagi malu dengan orang kampung yang kononnya aku ini budak liar yang tidak ada masa depan. Menjejak kaki ke UiTM adalah pengalaman paling manis buatku. Disinilah aku menanam semangat untuk membuktikan kejayaan pada suatu hari nanti. Di tanah UiTM ini jugaklah aku membuktikan yang penat lelah ayah untuk membesarkan aku berbayar. Aku belajar dengan cara aku sendiri. Aku tidak pernah ada perasaan untuk berlumba-lumba untuk menjadi pelajar cemerlang. Aku cuma mahu jadi diri aku sendiri dengan cara aku sendiri. Aku lakukan yang terbaik untuk diri aku sendiri dan bukan untuk di megah-megahkan. Alhamdullillah, aku berjaya...5 tahun aku di UiTM...cukup mendewasakan diri aku. Segulung ijazah aku genggam dengan rasa tidak percaya. Aku bangga di semester akhir aku mendapat anugerah dekan kerana kecermelangan aku dalam peperiksaan. Aku bangga aku mendapat pangkat kedua tertinggi dalam keseluruhan. Aku bangga aku menjadi diri aku sendiri.

Sebelum ini ayah selalu bising yang aku tidak seperti anak orang lain. Tapi pada hari aku menerima Ijazah aku menangis. Aku menangis kerana aku dapat membuktikan pada ayah dan mummy...yang aku jugak seperti anak orang lain...mampu berjaya dan aku tidak perlu menjadi orang lain untuk berjaya....Terpancar wajah riang pada kedua orang tua aku. Mummy menghadiahkan sejambangan bunga untuk aku. Itulah jambangan bunga yang ketiga pernah aku terima. Arwah mummy cukup gembira dengan kejayaan yang aku ukirkan. Dia seperti tak sabar untuk bercerita pada orang kampung. Aku bersyukur kerana arwah ada bersama merayakan hari konvokesyen aku. Tetapi ada kisah kesedihan yang berlaku pada petang itu...aku simpan dalam hati. Peristiwa yang meruntuh jiwa ibuku...walhal...arwah baru sahaja meraikan kejayaan aku.

Keesokkanya, aku pergi minum bersama ayah di Sunway Pyramid. Pada ketika itulah ayah bercerita....berkongsi sesuatu yang tak pernah di kongsikan pada sesiapa...walaupun dengan arwah mummy sendiri. Ayah mengucap tahniah pada aku. Inilah kali pertama ayah melafazkan yang dia bangga dengan aku. Aku tidak pernah terfikir yang suatu hari nanti ayah akan berkata begitu. Ayah tunduk...manarik nafas. Ayah berkata, dia sedih bila mengingatkan kata-kata cacian orang pada aku. Ayah berkata lagi....jangan sesekali membiarkan orang lain memandang rendah dengan kebolehan kita. Buktikan yang kita ini juga ada kelebihan. Bukan bermaksud untuk menegak benang yang basah. Jika kita berada di pihak yang benar...maka buktikanlah. Itulah nasihat ayah. Ayah bercerita tentang dirinya. Dia kata, bila di kaji semula, bayangan aku ada ketika dia masih muda. Itulah cermin untuk dirinya. Tapi ayah sungguh bangga dengan aku. Aku terasa itulah kata-kata yang paling berharga dalam hidup aku. Kata-kata yang menjadi azimat yang aku pegang sehingga hari ini. Walhal kejayaan yang terukir tidaklah sehebat mana bagi orang lain yang memandangnya. Tapi aku yang meniti titian perjalanan hidup aku sendiri. Aku tahu di mana letaknya harga diri aku pada ketika itu. Aku sukat berdasarkan pengalaman hidup aku sendiri. Pada saat itu juga lah ayah mengizinkan aku untuk berumah tangga. Aku diam. Terasa seperti dewasa yang datang tiba-tiba. Ayah seperti sudah bersedia melepaskan tugasnya. Bermulalah perjalanan yang panjang dalam hidup aku selepas itu.

Sungguh aku tidak sangka....jodoh aku datang menjemput pada tahun 2009 dan arwah sempat meraikan bersama. Arwah juga sempat melihat cucunya yang ke-10...cucu terakhir buatnya. Itulah takdir yang datang dalam diam. Baru setahun lebih aku mengenal erti mendirikan rumah tangga...arwah sudah pergi meninggalkan aku selamanya. Memandikan cucunya Laila...itulah ajaran terakhir arwah pada aku. Ktanya, pada pemerhatiannya, anakku Laila tidak susah untuk di jaga. Laila seolah mengerti akan apa yang bakal berlaku. Kadang-kadang, aku perhatikan arwah dari jauh ketika dia membelai laila. Katanya, "nenek tak boleh nak jaga laila dah lepas ni..." sikit pun kata-kata itu tidak terselit dalam jiwa aku yang dia akan pergi selamanya.

Terasa masa yang berlalu begitu pantas. Dari sesat bertukar minit, dari minit bertukar jam dari jam bertukar hari dari hari bertukar bulan dan dari bulan bertukar tahun....apakah yang bakal menjemput aku kemududian hari nanti? Aku redha...aku redha dengan ketentuanMu. Sewaktu aku di Kuching, Sarawak....aku menyinggah kedai sepatu lama. Banyak logokan kasut yang tak laku. Ada yang sepasang 5 ringgit ada yang 10 ringgit. Aku terpandang kasut Johnson...sepatu kegemaran ayah. Tapi sayang...sepatu rekaan yang ayah suka tidak ada. Aku membatalkan niat untuk membelinya. Setidak-tidaknya dapat jugalah aku hadiahkan untuknya.

Semalam suami aku bising tentang sepatunya yang hampir rosak. Aku menyuruh dia pergi membaiki di kedai. Katanya nanti2lah bila kewangan mengizinkan. Sekilas aku terkenang sepatu untuk ayah. Baru-baru ini hari jadi ayah. Aku membawa ayah jalan-jalan di Muzium Islam. Aku tahu ayah suka pergi ke tempat begitu. Bertentangan dengan abang aku yang hendak mengajak ayah pergi ke genting highlands. Untuk mengambil hati semua pihak, aku mengikut sahaja kehendak abang aku. Aku perhati dari jauh....semasa sampai di muzium Islam...ayah seolah-olah tidak sabar untuk masuk melihat-lihat. Berbeza apabila dia sampai di tanah genting. Ayah asyik memerhatikan jam. Ayah melihat-lihat di sekitar menikmati angin sejuk di genting. Ayah banyak diam. Seperti tidak ada topik untuk di ceritakan. Berbeza di muzium Islam tadi, ayah lebih banyak berbicara tentang apa yang dilihatnya. Aku sudah menasihati abang aku, yang ayah mungkin tidak berapa suka pergi ke genting highlands. Itu bukan tempat dia. Tapi abang aku berdegil dan hendak membawa ayah juga. Bila sudah terlalu lama di sana, ayah kesejukan. Anak aku laila juga kesejukan. Kami tidak bersiap sedia untuk kesana...pergi kerana abang aku mendesak berkali-kali.

Setelah rancangan untuk ke Pulau gagal, aku merancang untuk meraikan hari kelahiran ayah di Restoran Tupai2 atau setidaknya bermalam di tanah tinggi Janda Baik atau Cameron Highland. Tapi sekali lagi rancangan aku gagal.....abang aku mendesak untuk pergi makan malam di Restoran Ikan Sungai. Semua perancangan aku menemuai kegagalan. Aku tidak dapat menrencanakan mengikut kehendak aku. Tiada kek mahu pun hadiah untuk ayah. Hendak aku tebus masa itu semula. Mungkin sebelum raya menjelma akan aku pulang ke kampung. Kali ini aku hendak menyambut semula hari jadi ayah dengan cara aku sendiri.Baru aku puas. Sepasang sepatu mungkin menemui ayah nanti....sekurang-kurangnya dapatlah dia bergaya di hari raya. Sepatu itu tanda di mana sahaja ayah melangkah....aku akan sentiasa ada bersama melindungi kaki ayah.

Ayah menyuarakan hasratnya untuk mengembara bersama kereta buruknya. Aku menghalang. Aku takut apa-apa terjadi padanya dan tiada siapa yang tahu nanti. Lainlah jika aku ada bersama menemani ayah. Tergambar kesunyian ayah. Sehingga melakarkan hasrat sebegitu rupa. Apakah yang bermain di kotak pemikiran ayah? Hanya Tuhan yang tahu. Biarlah ayah mengorak langkah yang lebih baik dengan sepatunya nanti....Selamat Hari Jadi Ayah....Doa anakanda sentiasa mengiringi ayahanda...

No comments: